Aku lahir dalam sebuah keluarga Muslim, dikelilingi rakan-rakan yang Muslim, cikgu-cikgu yang Muslim. Dari tadika hinggalah ke sekolah menengah. Ada juga la rakan-rakan dan cikgu-cikgu yang bukan Muslim tapi hanyalah sejumlah kecil sahaja. Aku punya kawan berbangsa India dan Cina. Kebanyakan rakan-rakanku ialah Melayu Muslim. Selama ini, sebelum ini, aku tidak pernah merasakan yang aku dilahirkan dalam keadaan Islam itu ialah satu kenikmatan yang Allah berikan kepadaku. Nikmat yang patut aku syukuri. Tidak pernah terfikir untuk menceritakan tentang Islam pada rakan-rakan. Rakan-rakan melayu Muslim yang lain pun semuanya begitu pada masa itu.
Kita patut BerSYUKUR dengan cara apa? adakah hanya dengan mengucapkan alhamdulillah? tidak sama sekali, syurga itu mahal. Perjuangan Rasulullah dan sahabat-sahabat penuh dengan darah dan keringat. Siapalah aku untuk membeli syurga dengan usahaku yang amatlah sedikit ini. Namun aku masih mengharapkan rahmat Allah. Aku ingin berjuang menegakkan Islam di atas muka bumi ini. Allah ciptakan manusia untuk jadi khalifah di atas muka bumi ini. Khalifah dalam erti kata lain menjadi wakil Allah untuk menegakkan Islam di atas muka bumi ini dengan syariatNya dan membebaskan manusia dari mensyirikkan Tuhan yang satu. Dulu aku tak pernah tahu menahu pun kenapa aku ada atas muka bumi ini. Memang la solat, puasa tahu la Allah suruh tapi tak sedar ada yang lebih besar dari itu.
Kita ni adalah tiada apa-apa (Nothing) sebelum kita diciptakan. Dari setitis air mani. Kecil sangat. Lagi kecil dari semut. Jadi siapakah kita ingin mengikut dan menegakkan syariat ciptaan manusia? siapakah yang memberikan kita rezeki? Manusia (termasuk aku) sememangnya selalu lupa untuk bersyukur. Kehidupan yang Allah beri kita bukan semata-mata untuk belajar, kerja, kahwin dan mati. Nikmat yang Allah beri kadang-kadang membuatkan kita lupa untuk bersyukur dan membuatkan kita lebih jauh dari mengingati Allah. Siapakah kita untuk bersikap bangga dan bongkak dengan apa yang kita ada. Realitinya, harta, wajah yang menawan, kekayaan hanyalah pinjaman dari Allah. Segala nikmat yang Allah beri kepada kita akan dipertanggungjawabkan kepada kita di akhirat kelak. Contohnya, komputer yang kita ada adakah kita gunakan untuk melihat kebesaran Allah dan menambahkan iman kita atau sebaliknya? Tenaga yang kita peroleh dari makanan dan minuman adakah kita gunakan ia untuk beribadah dan menyampaikan Islam kepada rakan-rakan?
Islam bukan hanya, solat, puasa, dosa dan pahala. Jika ya pun, masakan Rasulullah dan sahabat-sahabat dahulu sanggup dicerca, diseksa, dibaling batu dan najis semata-mata ingin menyampaikan Islam? boleh saja mereka solat dan puasa sendiri-sendiri. Ini kerana mereka faham hakikat Islam itu sendiri. Betapa NIKMATnya Islam itu sehingga mereka bertungkus-lumus untuk berkongsi nikmat dengan seluruh manusia sekalian alam. Contoh; anda telah termakan aiskrim potong perisa durian yang sangat sedap dan murah di kedai runci Pak Mat, ianya terlalu sedap sehinggakan anda menghebah-hebahkannya kepada ibu ayah, adik-beradik, rakan sekelas mahupun cikgu sejarah anda akan kesedapan aiskrim tersebut. Jika kita singkap kembali sirah, lihat bagaimana Saidina Umar Al-Khattab setelah beliau memeluk Islam. Tak belajar mendalam pun lagi pasal, akidah, tauhid, ibadah tapi terus menyeru, menghebahkan keIslamannya. Lihat Abu Dzar al-Ghifari bagaimana beliau dipukul sehingga separuh mati kerana menyatakan keIslamannya di tengah-tengah kota Makkah. Walhal Abu Dzar ketika itu baru sahaja memeluk Islam. Kefahaman yang sangat tinggi terhadap Islam yang sebenar itu lah yang didambakan oleh seluruh Umat Islam seluruh dunia dan di Malaysia.
Aku ini hanya insan biasa yang masih merangkak, baru tersedar dari tidur tetapi masih merangkak. Inginku berlari masih mengumpul tenaga. Ingin ku berlari mengejar ke arah tujuan yang satu. Masih ada karat-karat jahiliyah. Usahaku ingin membersihkan hati ini dari dosa. Ya Allah, dosa ku setinggi langit, ampunkanlah aku. Aku mengharapkan RahmatMu ya Allah. Hidup kita ini untuk mencari alasan kepada Allah untuk kita masuk ke dalam Syurga Allah. Ihdinassiraatalmustaqim. Tunjukkanlah KAMI jalan yang lurus. Berilah petunjuk kepadaku. Bantulah aku untuk menjauhi perkara-perkara yang Engkau murkai.
No comments:
Post a Comment