Tuesday, April 16, 2013

Al-Fatihah

 

Dari sudut pandanganku yang tak punya ilmu setinggi langit. Ingin aku kongsikan sedikit ilmu yang aku peroleh selama ini daripada surah yang kita hari-hari baca. Al-Fatihah, surah yang pertama yang disusun dalam Al-Quran. Semoga kita semua memperoleh manfaat dan khusyuk dalam solat setelah menghayati makna dan memahami hakikat apa yang kita selalu sebut-sebutkan dan bacakan dalam solat seharian kita. Huraian surah yang pertama ini boleh mencecah bermuka-muka surat kerana betapa mendalam nya surah ini tapi inginku ringkaskan berdasarkan pemahamanku yang tak seberapa ini.

 

“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani”

Sedarkah kita, hidup kita di dunia ini untuk apa? kehidupan sehari-hari kita. Apabila bangun di subuh hari adakah kita ingat bahawa hidup kita ini hanya untuk mendapatkan keredaan Allah. Ingatkah kita untuk mengucapkan ayat ini dalam setiap perbuatan kita? aku akui kadang-kadang aku pun lupa untuk mengucapkan “Bismi Allahi alrrahmani alrraheemini. Namun kita boleh. Dengan sifat Ar-Rahman Allah, sifat maha pemurah Allah. Kita dapat lihat walaupun kebanyakan manusia tidak bersyukur dengan nikmat Allah, ramai yang masih kufur, mensyirikkan Allah dengan benda lain. Manusia yang terus tak percaya pada Allah kita letak tepi dulu. Kita ni yang Islam tapi ada juga dalam kalangan kita yang tidak bersyukur dan tidak faham akan hakikat Ar-Rahman ini. Kadang-kadang kita ni buat dosa, tidak ikut perintah Allah dan langar laranganNya namun Allah yang bersifat Ar-Rahman masih memberi kita peluang untuk hidup, memberi kita makan, minum, bernafas, nikmat deria, penglihatan, rasa. Nikmat untuk hidup itu jangan kita bazirkan, Allah beri kita peluang untuk hidup lagi kerana Allah masih sayangkan kita dan beri kita peluang untuk bertaubat kerana kita masih banyak dosa dan amal masih tidak cukup. Adakah kita tidak sedar? Sifat Ar-Rahim Allah, Maha Pengasih, kita sepatutnya bersyukur dikurniakan nikmat Iman dan Islam. Nikmat Quran. Bersyukur dalam erti kata lain, kita menggunakan Nikmat-nikmat yang Allah beri untuk berbakti dan menyumbang ke jalan Allah, ke arah Islam, menyumbang kepada masyarakat, menyebarkan Islam kepada semua terutamanya umat Islam itu sendiri di Malaysia yang rata-ratanya tidak mengamalkan Islam dengan sempurna.

“Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”

“Alhamdulillah” Rentetan dari ayat pertama tadi. Bersyukur. Segala Puji hanya bagi Allah. Kita lihat matahari terbenam yang cantik, kita lihat langit biru dan awan yang menawan, kita lihat apa-apa saja yang cantik tidakkan kita tahu hakikat siapa yang mencipta semua itu? Semua pujian hanya lah bagi Allah. Nikmat yang kita kecapi, Nikmat dapat belajar, Nikmat kefahaman Islam, Nikmat mata yang tidak dapat menandingi DSLR termahal sekalipun, Nikmat makanan yang sedap-sedap. Segala nikmat yang kita perolehi itu akan ditanya di akhirat kelak. Apakah kita bersyukur dengan nikmat-nikmat yang Allah berikan itu atau tidak? Kita saja yang mampu menjawab persoalan tersebut.
RABB. Hakikat RABB yang sebenar ialah penguasa. Pencipta kita dari tiada kepada ada, dari setitis air mani. Rabbil ‘alamin. Alam ini. Alam ini seluruh alam ini adalah ciptaan Allah. Allah yang mencipta dan mengawal keseluruh alam ini tanpa ada cacat cela.

Allah berfirman dalam surah Al-Mulk (67:3) “Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan - (mu) - dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?”

Hakikat alam ini. Tahukah anda. Saintis-saintis di Nasa yang bagi kita sudah begitu hebat kerana dapat melihat galaksi-galaksi yang begitu jauh, ketahuilah bahawa apa yang kita mampu lihat itu hanyalah dalam langit pertama sahaja daripada tujuh langit ciptaan Allah. Bintang-bintang dan planet-planet yang tidak TERKIRA itu ialah ciptaan Allah dan kita manusia masih lagi ada sifat sombong, tidak mahu bersyukur, merasa sudah cukup dengan apa yang ada, takabbur dan riak. Rabbil ‘Alamin, tidakkan kita merasa betapa besarnya Allah pencipta seluruh alam ini semasa mengucapkan kalimah-kalimah ini. Bersyukurlah.

to be continued…

Sunday, April 14, 2013

Apa Erti Aku Menganut Islam?

 

Aku lahir dalam sebuah keluarga Muslim, dikelilingi rakan-rakan yang Muslim, cikgu-cikgu yang Muslim. Dari tadika hinggalah ke sekolah menengah. Ada juga la rakan-rakan dan cikgu-cikgu yang bukan Muslim tapi hanyalah sejumlah kecil sahaja. Aku punya kawan berbangsa India dan Cina. Kebanyakan rakan-rakanku ialah Melayu Muslim. Selama ini, sebelum ini, aku tidak pernah merasakan yang aku dilahirkan dalam keadaan Islam itu ialah satu kenikmatan yang Allah berikan kepadaku. Nikmat yang patut aku syukuri. Tidak pernah terfikir untuk menceritakan tentang Islam pada rakan-rakan. Rakan-rakan melayu Muslim yang lain pun semuanya begitu pada masa itu.

Kita patut BerSYUKUR dengan cara apa? adakah hanya dengan mengucapkan alhamdulillah? tidak sama sekali, syurga itu mahal. Perjuangan Rasulullah dan sahabat-sahabat penuh dengan darah dan keringat. Siapalah aku untuk membeli syurga dengan usahaku yang amatlah sedikit ini. Namun aku masih mengharapkan rahmat Allah. Aku ingin berjuang menegakkan Islam di atas muka bumi ini. Allah ciptakan manusia untuk jadi khalifah di atas muka bumi ini. Khalifah dalam erti kata lain menjadi wakil Allah untuk menegakkan Islam di atas muka bumi ini dengan syariatNya dan membebaskan manusia dari mensyirikkan Tuhan yang satu. Dulu aku tak pernah tahu menahu pun kenapa aku ada atas muka bumi ini. Memang la solat, puasa tahu la Allah suruh tapi tak sedar ada yang lebih besar dari itu.

Kita ni adalah tiada apa-apa (Nothing) sebelum kita diciptakan. Dari setitis air mani. Kecil sangat. Lagi kecil dari semut. Jadi siapakah kita ingin mengikut dan menegakkan syariat ciptaan manusia? siapakah yang memberikan kita rezeki? Manusia (termasuk aku) sememangnya selalu lupa untuk bersyukur. Kehidupan yang Allah beri kita bukan semata-mata untuk belajar, kerja, kahwin dan mati. Nikmat yang Allah beri kadang-kadang membuatkan kita lupa untuk bersyukur dan membuatkan kita lebih jauh dari mengingati Allah. Siapakah kita untuk bersikap bangga dan bongkak dengan apa yang kita ada. Realitinya, harta, wajah yang menawan, kekayaan hanyalah pinjaman dari Allah. Segala nikmat yang Allah beri kepada kita akan dipertanggungjawabkan kepada kita di akhirat kelak. Contohnya, komputer yang kita ada adakah kita gunakan untuk melihat kebesaran Allah dan menambahkan iman kita atau sebaliknya? Tenaga yang kita peroleh dari makanan dan minuman adakah kita gunakan ia untuk beribadah dan menyampaikan Islam kepada rakan-rakan?

Islam bukan hanya, solat, puasa, dosa dan pahala. Jika ya pun, masakan Rasulullah dan sahabat-sahabat dahulu sanggup dicerca, diseksa, dibaling batu dan najis semata-mata ingin menyampaikan Islam? boleh saja mereka solat dan puasa sendiri-sendiri. Ini kerana mereka faham hakikat Islam itu sendiri. Betapa NIKMATnya Islam itu sehingga mereka bertungkus-lumus untuk berkongsi nikmat dengan seluruh manusia sekalian alam. Contoh; anda telah termakan aiskrim potong perisa durian yang sangat sedap dan murah di kedai runci Pak Mat, ianya terlalu sedap sehinggakan anda menghebah-hebahkannya kepada ibu ayah, adik-beradik, rakan sekelas mahupun cikgu sejarah anda akan kesedapan aiskrim tersebut. Jika kita singkap kembali sirah, lihat bagaimana Saidina Umar Al-Khattab setelah beliau memeluk Islam. Tak belajar mendalam pun lagi pasal, akidah, tauhid, ibadah tapi terus menyeru, menghebahkan keIslamannya. Lihat Abu Dzar al-Ghifari bagaimana beliau dipukul sehingga separuh mati kerana menyatakan keIslamannya di tengah-tengah kota Makkah. Walhal Abu Dzar ketika itu baru sahaja memeluk Islam. Kefahaman yang sangat tinggi terhadap Islam yang sebenar itu lah yang didambakan oleh seluruh Umat Islam seluruh dunia dan di Malaysia.

Aku ini hanya insan biasa yang masih merangkak, baru tersedar dari tidur tetapi masih merangkak. Inginku berlari masih mengumpul tenaga. Ingin ku berlari mengejar ke arah tujuan yang satu. Masih ada karat-karat jahiliyah. Usahaku ingin membersihkan hati ini dari dosa. Ya Allah, dosa ku setinggi langit, ampunkanlah aku. Aku mengharapkan RahmatMu ya Allah. Hidup kita ini untuk mencari alasan kepada Allah untuk kita masuk ke dalam Syurga Allah. Ihdinassiraatalmustaqim. Tunjukkanlah KAMI jalan yang lurus. Berilah petunjuk kepadaku. Bantulah aku untuk menjauhi perkara-perkara yang Engkau murkai.